Oleh
Al-Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas
Menurut ajaran Islam, rumah tangga yang ideal adalah rumah tangga yang diliputi
sakinah (ketenangan jiwa), mawaddah (perasaan cinta) dan rahmah (kasih sayang).
Allah Ta’ala berfirman.
"Ertinya : Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia
menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa
kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
(kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum : 21).
Di dalam rumah tangga yang Islami, seorang suami atau isteri harus saling memahami
kekurangan dan kelebihan masing-masing, serta harus tahu pula hak dan kewajipan
serta memahami tugas dan fungsi masing-masing, serta melaksanakan tugas-tugas
itu dengan penuh tanggung jawab, ikhlas serta mengharapkan ganjaran dan ridha
daripada Allah Ta’ala.
Ia perlu dilakukan sehinggalah usaha untuk mewujudkan pernikahan dan rumah
tangga yang mendapat keridhaan Allah ‘Azza wa Jalla menjadi kenyataan. Akan
tetapi, mengingatkan keadaan manusia yang tidak mampu lepas daripada kelemahan
dan kekurangan, sedangkan ujian dan cubaan selalu mengiringi kehidupan manusia.
Oleh kerana itu, tidak jarang pasangan yang sedang hidup tenang, tenteram dan
bahagia mendadak dilanda kemelut perselisihan dan pergolakan.
Apabila terjadi perselisihan di dalam rumah tangga, maka seharusnya ada usaha
ishlah (mendamaikan). Pertamanya, yang harus dilakukan kali oleh suami dan
isteri adalah lebih dahulu saling menyedari kesalahan masing-masing, dan saling
memaafkan, serta memohon kepada Allah agar disatukan hati, dimudahkan urusan di
dalam ketaatan kepadaNya, dan diberikan kedamaian di dalam rumah tangganya.
Jika cara tersebut gagal, maka harus ada pendamai daripada pihak keluarga suami
mahupun isteri untuk mendamaikan keduanya. Mudah-mudahan Allah memberikan
taufiq kepada pasangan suami isteri tersebut.
Apabila sudah diusahakan untuk berdamai sebagaimana yang disebutkan di dalam
Al-Qur'an, surat
An-Nisaa' ayat
34-35, tetapi masih juga gagal, maka Islam memberikan jalan terakhir, iaitu
“perceraian”.
Syaikh Musthafa Al-‘Adawi berkata, “Apabila masalah antara suami isteri semakin
memanas, hendaklah keduanya saling memperbaiki urusan keduanya, berlindung
kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk, dan meredakan perselisihan antara
keduanya, serta menguncikan rapat-rapat setiap pintu perselisihan dan jangan
menceritakannya kepada orang lain.
Apabila suami marah sementara isteri ikut beremosi, hendaklah keduanya
berlindung kepada Allah, berwudhu' dan bershalat dua raka’at. Apabila keduanya
sedang berdiri, hendaklah duduk; apabila keduanya sedang duduk, hendaklah
berbaring, atau hendaklah salah seorang daripada keduanya mencium, merangkul,
dan menyatakan alasan kepada yang lainnya. Apabila salah seorang berbuat salah,
hendaknya yang lainnya segera memaafkannya kerana mengharapkan wajah Allah
semata.”
Di tempat lain beliau berkata, “Sedangkan berdamai adalah lebih baik,
sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta’ala. Berdamai lebih baik bagi
keduanya daripada berpisah dan bercerai. Berdamai lebih baik bagi anak daripada
mereka terbengkalai (tidak terurus). Berdamai lebih baik daripada bercerai.
Perceraian adalah rayuan iblis dan termasuk perbuatan Harut dan Marut.
Allah Ta’ala berfirman.
"Ertinya : “Maka mereka mempelajari daripada keduanya (Harut dan Marut)
apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka
tidak dapat menimpakan kecelakaan kepada seseorang dengan sihirnya kecuali
dengan izin Allah.” (Al-Baqarah : 102).
Di dalam Shahih Muslim dari Shahabat Jabir bin ‘Abdillah Radhiyallaahu ‘anhuma,
dia berkata, “Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Sesungguhnya
iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian ia mengirimkan bala tenteranya.
Tentera yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan
fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata,
‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan
apa-apa.’’ Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam melanjutkan, ‘Lalu datanglah seorang
daripada mereka dan berkata, ‘Tidaklah aku meninggalkannya sehingga aku telah
berhasil memisahkan dia (suami) dan isterinya.’’ Beliau melanjutkan, ‘Lalu
iblis mendekatkan kedudukannya. Iblis berkata, ‘Sebaik-baik pekerjaan adalah
yang telah engkau lakukan.”
Ini menunjukkan bahwa penceraian adalah perbuatan yang dicintai syaitan.
Apabila dikhuatiri akan terjadinya perpecahan antara suami dan isteri,
hendaklah hakim atau pemimpin mengirim dua orang jurudamai. Satu daripada pihak
suami dan satu lagi daripada pihak isteri untuk mewujudkan perdamaian di antara
keduanya. Apabila keduanya berdamai, maka alhamdulillaah. Namun apabila
permasalahan terus berlanjutan antara keduanya kepada jalan yang telah
digariskan dan keduanya tidak mampu menegakkan batasan-batasan Allah di antara
keduanya; iaitu isteri tidak lagi mampu menunaikan hak suami yang disyari’atkan
dan suami tidak mampu menunaikan hak isterinya, serta batas-batas Allah menjadi
terabai di antara keduanya dan keduanya tidak mampu menegakkan ketaatan kepada
Allah, maka ketika itu urusannya seperti yang Allah firmankan:
"Ertinya : Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan memberi kecukupan
kepada masing-masing dari kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya), Maha Bijaksana.”
(An-Nisaa' : 130).
Allah Ta’ala berfirman:
"Ertinya : Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), kerana
Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) ke atas sebahagian yang lain
(perempuan), dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dan hartanya.
Maka perempuan-perempuan yang shalihah adalah mereka yang taat (kepada Allah)
dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga
(mereka). Perempuan-perempuan yang kamu khuatiri akan nusyuz,
hendaklah kamu beri nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur
(berpisah daripada ranjang), dan (kalau perlu) pukullah mereka. Tetapi jika
mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari alasan untuk menyusahkannya.
Sungguh, Allah Maha Tinggi, Maha Besar. Dan jika kamu khuatiri terjadi
persengketaan di antara keduanya, maka kirimlah seorang pendamai daripada
keluarga lelaki dan seorang pendamai daripada keluarga perempuan. Jika keduanya
(pendamai itu) bermaksud mengadakan kebaikan, nescaya Allah memberi taufik
kepada suami isteri itu. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (An-Nisaa'
: 34-35).
Pada hakikatnya, perceraian dibolehkan menurut syari’at Islam, dan ini
merupakan hak suami. Hukum thalaq (cerai) dalam syari’at Islam adalah
dibolehkan.
Adapun hadits yang mengatakan bahawa “perkara halal yang dibenci Allah adalah
thalaq (cerai),” iaitu hadits yang diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 2178), Ibnu
Majah (no. 2018) dan al-Hakim (II/196) adalah hadits lemah. Hadits ini
dilemahkan oleh Ibnu Abi Hatim rahimahullaah di dalam kitabnya, al-‘Ilal,
dilemahkan juga oleh Syaikh Al-Albani rahimahullaah di dalam Irwaa-ul Ghaliil
(no. 2040).
Meskipun thalaq (cerai) dibolehkan di dalam ajaran Islam, akan tetapi seorang
suami tidak boleh terlalu memudahkan masalah ini. Ketika seorang suami ingin
menjatuhkan thalaq (cerai), dia harus berfikir tentang maslahat (kebaikan) dan
mafsadah (kerosakan) yang mungkin timbul akibat perceraian agar jangan sampai
membawa kepada penyesalan yang panjang. Dia harus berfikir tentang dirinya,
isterinya dan anak-anaknya, serta tanggungjawabnya di hadapan Allah ‘Azza wa
Jalla pada hari Kiamat.
Kemudian bagi isteri pula, walau bagaimana pun kemarahannya kepada suami,
hendaklah dia tetap sabar dan janganlah sekali-kali dia menuntut cerai kepada
suaminya (tanpa sebab yang munasabah). Kadangkala ada isteri meminta cerai
disebabkan masalah kecil atau kerana suaminya menikah lagi (berpoligami) atau
menyuruh suaminya menceraikan madunya. Hal ini tidak dibenarkan di dalam agama
Islam. Jika si isteri masih terus menuntut cerai, maka haram ke atasnya bau syurga,
berdasarkan sabda Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam:
"Ertinya : Siapa sahaja wanita yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa
ada alasan yang benar, maka haram ke atasnya bau syurga.”
Abu Hurairah Radhiyallaahu ‘anhu berkata,
"Ertinya : Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam melarang: ... dan
janganlah seorang isteri meminta (suaminya) untuk menceraikan saudara (madu)nya
agar memperoleh nafkahnya.”
Marilah kita berupaya untuk melaksanakan pernikahan secara Islami dan membina
rumah tangga yang Islami, serta berusaha meninggalkan aturan, tata cara,
upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan Islam. Ajaran Islamlah
satu-satunya ajaran yang benar dan diredhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla
sebagaimana Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
"Ertinya : Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (Ali
‘Imran : 19)
“...Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan
kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi
orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Furqaan : 74).
Setiap keluarga selalu mendambakan terwujudnya rumah tangga yang bahagia,
diliputi sakinah, mawaddah dan rahmah. Oleh kerana itu, setiap suami dan isteri
wajib menunaikan hak dan kewajipan masing-masing sesuai dengan syari’at Islam
dan bergaul dengan cara yang baik
(Disalin daripada buku Bingkisan Istimewa Menuju Keluarga Sakinah, Penulis
Yazid bin Abdul Qadir Jawas, Penerbit Putaka A-Taqwa Bogor - Jawa Barat, Cet Ke
II Dzul Qa'dah 1427H/Desember 2006)
http://almanhaj.or.id/index.php?action=more&article_id=2079&bagian=0
diterjemah dan diedit oleh Abu Usamah
.
Recent Comments