Selesai Sudah Kem Di Masjid Aleyah. Alhamdulillah
Alhamdulillah,
selesai sudah Kem Remaja Tajdid 2008 di Masjid Aleyah Kg. Kuala Ina.
Mungkin patut aku mulakan dengan bercerita sedikit bagaimana munculnya
Kem Remaja Tajdid ini di masjid Aleyah.
Kem ini pada asalnya
dirancang untuk di adakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin atau
sekarang lebih dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku
Syed Idrus. Setelah beberapa siri perbincangan dengan ustaz di sekolah,
maka diputuskan untuk tidak meneruskan kem tersebut di sekolah. Hal ini
kerana sekolah tersebut telah mengadakan kerjasama dengan
sekolah-sekolah lain untuk mengadakan kem ibadah. Jadi, akhirnya
diputuskan untuk meneruskan kem ini, pada tarikh yang sama di masjid
Aleyah Kuala Ina.
Maka aku ditugaskan untuk mendapatkan
kebenaran menggunakan masjid Aleyah Kg. Kuala Ina. Alhamdulillah,
proses awal berjalan lancar, setelah bertemu dengan Pengerusi Masjid
yang merangkap Pengerusi JKKK, maka beliau memberi kebenaran dan
menyuruh aku membuat satu surat rasmi yang akan beliau cop supaya dapat
membuktikan yang aku telah mendapat kebenaran untuk menggunakan masjid.
Selesai
proses pertama, maka pergi kepada langkah kedua, pencarian dana.
Dana-dana akhirnya dikutip daripada ahli-ahli perniagaan, dan
kontraktok-kontraktor Islam yang berada di sekitar Tampin.
Alhamdulillah, mereka memberikan sumbangan tanpa banyak soal, setelah
melihat kertas kerja dan budget program, mereka terus menghulurkan
sumbangan. Sumbangan terbanyak diperolehi daripada pemilik kedai
Perodua di Tampin, En. Mohd Said. Beliau menderma RM 500. Dari awal aku
memasuki kedai beliau, aku sudah dapat menjangka yang beliau memang
berminat untuk memberi sumbangan, cuma tidaklah sehingga sebanyak RM
500. Beliau kata, nak bagi banyak tak dapatlah, bolehlah
sedikit-sedikit beliau sumbang, rupa-rupanya sedikit yang beliau
maksudkan ialah RM 500.
Sesi pencarian dana diteruskan,
orang yang paling banyak berjasa ialah seorang jemaah tetap di masjid
iaitu Cikgu Hassan. Beliau mudah dikenali di masjid dengan kopiah putih
dan sedikit tempang. Beliaulah yang membawa aku berjumpa orang-orang
yang dilihat akan membantu memberi dana untuk kem ini.
Maka
selepas mengutip daripada orang ramai, maka aku pun pergi pula berjumpa
ke pejabat JAPERUN, mana tahu dapat sedikit peruntukan daripada YB
untuk kem ini. Di sinilah bermula mimpi ngeri, dan sedikit sakit hati,
bukan aku sahaja, tapi Cikgu Hasan.
YB menyatakan bahawa
tidak ada peruntukan kerana INTIS merupakan sebuah entiti perniagaan,
berlandaskan keuntungan. Maka aku pun tunjukkan budget bahkan yuran
yang akan dikutip, aku katakan dengan yuran RM 10, keuntungan apa yang
akan kami dapat. Beliau terus menyatakan tiada peruntukan, tak
mengapalah, aku tak kisah, tapi sifat yang bukan setakat tidak memberi
sokongan kewangan, bahkan tak ada sedikit pun kata-kata atau sokongan
moral yang beliau tunjukkan. Aku dengan cikgu Hasan terus beredar dari
pejabat JAPERUN Dun Gadek. Hati sudah panas. Cikgu Hasan sehingga ke
hari ini menyumpah hal tersebut, sampai-smapai dia kata "Bangan punya
YB, dahlah duit tak bagi, sokong pun tidak". Aku diam sahaja. Selepas
itu aku berjumpa dengan pengusaha stesen Minyak Petronas, En.
Shaharudin yang juga adik kepada menteri yang bernama Shaziman bin
Mansur yang juga ahli Parlimen Tampin. Beliau memberikan sumbangan
tanpa banyak soal, tiba-tiba dia tanya kepada aku sama ada dah mintak
duit dari YB. Aku senyap, tak tahu nak jawab, Cikgu Hasan yang jawab.
Tak pasal-pasal adik Menteri ini, marah sambil mengutuk sikap YB yang
tak memberi sedikitpun sokongan kepada kem ini.
Dana ketika
itu sudah berjumlah RM 1130. Tak cukup, jumlah sasaran 6o peserta,
yuran RM 10. Nak bayar catering pun tak cukup kalau macam tu.
Setelah
beberapa hari, aku betolak pula ke UIA Gombak atas urusan keluarga.
Sambil-sambil itu terus di adakan mesyuarat tergempar untuk
membincangkan perihal kem ini. Maka setelah diteliti, maka diputuskan
yuran dinaikkan ke RM 25 sahaja. Itupun masih perlukan dana tambahan.
Rakan-rakan
INTIS ada yang membantu mencari dana, dan akhirnya mendapat bantuan
dari pihak Institut al-Qayyim dengan bantuan kewangannya sebanyak RM
1000.
Untuk mengurangkan kos lagi, maka diputuskan bahawa
khidmat catering hanyalah untuk makanan sewaktu sarapan, tengahari dan
makan malam. Minuman dan makanan ketika rehat antara sesi-sesi aktiviti
dan minum malam akan disediakan oleh komiti.
Masalah
kewangan yang dihadapi telah merencatkan proses promosi dan
pengiklanan. Alhamdulillah seminggu sebelum Kem Bermula, baru proses
promosi dapat berjalan. Aku ke hulu ke hilir dengan motor RGV aku.
Masuk ke sekolah, pergi ke pejabat, menghantar surat jemputan supaya
pihak sekolah menghantar pelajar-pelajar untuk menyertai kem ini.
Selepas itu mencetak lebih kurang 500 pamphlet untuk diedarkan di
masjid-masjid, surau-surau, taman perumahan, dan tak lupa jua di pekan
tampin dan pasar malam. Kerja terpaksa dilakukan secepat mungkin kerana
masa yang suntuk.
Kawan-kawan aku di Tampin telah banyak
membantu. Ada yang mempromosi kem ini kepada jiran tetangga, sanak
saudara. Bukan itu sahaja, Ustaz Abdul Ghani yang sampai sekarang masih
mengajar, turut mempromosi kem ini kepada pelajar-pelajar di sekolah
hatta kepada kawan-kawan sekerja dan surau-surau yang beliau mengajar.
Tak cukup, maka pengedaran pamhplet dibuat pula di pasar malam,
pamphlet ada yang diberi secara terus kepada individu yang mahu menuju
ke kereta setelah membeli barangan ataupun yang sedang duduk-duduk
berehat. Cumanya aku tak ber pamphlet pada orang yang sedang membeli
baranganlah, tak sopan buat macam tu. Dan selain itu, seperti orang
yang nak mengiklankan perniagaan atau produk-produk, hampir 100
pamphlet iklan di selitkan pada kereta-kereta yang ada di pasar malam.
Keesokkannya, iklan disebarkan pula di pekan Tampin. Puas juga memilih kereta orang Islam, tak nak membazir pamhplet.
Saat
yang genting, pada 19 Mei, jumlah peserta masih belum menjangkau 20
orang. Aku dah risau, kawan aku di Tampin Zaid menenangkan keadaan
dengan menyatakan mungkin ramai akan datang daftar waktu hari Jumaat tu.
Tapi
mula sahaja, pagi 20 Mei, telefon aku dah tak henti-henti berdering
dengan panggilan dan SMS yang mahu mendaftarkan anak-anak mereka. Ada
yang mendapat tahu melalui internet, ada yang dapat tahu lepas lihat
iklan di masjid, ada pula yang dapat tahu sebab iklan tu ada dekat
cermin kereta mereka. Salah seorang daripadanya ialah cikgu Add Math
aku, dia balik pasar malam, suami dia nampak pamphlet iklan tu di
cermin kereta, hampir-hampir suami dia nak buang tiba-tiba cikgu aku
tahan sebab dia kata dia nak baca iklan tu. Sekali dia kata
rupa-rupanya iklan kem ibadah, ingatkan produk apa. Dia tengok nombor
yang nak dihubungi sekali nombor aku. Dia daftarkan anak buah dia.
Alhamdulillah,
adik-adik junior SMK Tampin (sekarang SMK Tunku Syed Idrus) membantu
mencarikan peserta, ramai jua dari sekolah itu hasil usaha adik-adik
aku yang baik hati. Bekerja keras nampaknya mereka memujuk kawan-kawan
sekolah mereka menyertai kem itu, bukan setakat kawan-kawan sekelas,
sampaikan kawan-kawan sekolah jiran seperti TBS pun diajak sekali. Baik
sungguh adik-adik aku ni.
Tamat sesi promosi, aku, Zaid dan
Aiman sibuk pula membeli-belah untuk keperluan kem. Aiman dengan baik
hatinya menawarkan diri menjadi driver untuk membeli belah. Mula-mula
pergi Giant. Hah sekali di Giant stok gula habis. Cepat-cepat pergi ke
Tampin Shopping, beli gulah, cari Teh Cap Masjid (silap beli, sebab
beli Teh Cap Batu, ingatkan cap Masjid sebab ada gambar masjid).
Petang
tu, lepas dah habis beli semua barang, kami pergi Balai Polis Pulau
Sebang untuk melaporkan tentang kem yang kami nak adakan, Tak nak pulak
tiba-tiba dituduh macam-macam, lagipun dah macam-macam cerita tak elok
aku dengar pasal kem yang nak dibuat ini. Dan seperti ada usaha nak
menggagalkan. Alhamdulillah, tak terjadi.
Pagi Jumaat, aku
didatangi seseorang dari Alor Gajah, aku tak kenal siapa. Mula-mula dia
mintak pamhplet program (aku fikir mungkin dia nak daftarkan anak dia,
mungkin baru tau) tiba-tiba dia mintak pula poster program, aku dah
mula fikir lain. Lepas tu dia tanya lagi dah dapat kebenaran pihak
masjid ke belum etc. Dia tanya lagi aktiviti ni ajar budak-budak solat
je kan. Aku pun bagilah semua maklumat yang dia nak. Buat apa nak tipu.
Aku ajak dia datang sekali waktu kuliah-kuliah yang ada dan waktu
majlis penutup. SB agaknya, aku ingatkan aku seorang je, petang tu Zaid
bagitahu ada orang datang jumpa dia, tanya macam-macam pasal kem ini.
Alhamdulillah pada hari pendaftaran, seramai 42 datang mendaftar walaupun tak mencapai sasaran 60 orang.
Aku
dan rakan-rakan Tampin bertugas menyediakan minuman untuk
peserta-peserta dan fasilitator. Nampak gaya yang buat kem tu meriah,
bukan peserta tapi komiti-komiti bahagian buat air, dengan keriuhan dan
lawak-lawak yang buat aku tak tahan nak ketawa. Semua budak-budak
Tampin, kawan-kawan sekolah aku dan juga akak aku sendiri.
Ada
kawan aku, Alan, pagi Jumaat tu dapat tahu ada kem ni, terus datang
membantu tanpa banyak soal. Azila, Khamis malam dapat panggilan dari
aku, terus pagi tu muncul dengan Zunairah dan Zafirah.
Petang
itu, muncul pula Izmir sebab Alan telefon dia suruh datang sekali bantu
kem ini. Boleh jadi reunion geng SPM Batch 2004 pula waktu kem ini.
Semua yang jadi komiti kawan-kawan aku dari sekolah lagi. Akak aku
sahaja yang bukan.
Aku dengan Zaid bertugas jaga disiplin
dan kebajikan. Macam-macam budak ada. pada hari pendaftaran, aku dan
Zaid jadi tukang sambut ibu bapa yang hadir. Borak-borak dengan ibu
bapa.
Peserta yang hadir kebanyakan bukan orang tempatan,
ada yang dari Klang, Selayang, Tangkak, Serkam, Simpang Ampat Alor
Gajah dan banyak lagi. Orang sekitar kebanyakannya orang Tampin, bukan
kariah Kuala Ina. Inilah yang sedikit mengecewakan aku.
Hari
kedua, ada pula budak yang demam, lelaki tak banyak masalah sangat,
budak perempuan ada yang demam sampai tak nak makan. Terpaksalah Azila
yang jaga kebajikan duduk dengan dia sepanjang hari, bawak makanan dan
minuman untuk dia. Petang pula Azila bagitau ada dua budak perempuan
badan panas sangat. Aku pun ajak Izmir sebab dia ada kereta, bawa dua
budak perempuan tu pergi Klinik Al-Azhim di Tampin Square.
Sesi
aku bagi kuliah ialah pada Sabtu tengahari ajar tentang Thaharah, ajar
pasal wudhu, mandi wajib dan tayamum. Udah dapat sesi tengahari, kompem
budak tidur kalau aku je yang dok cerita dan demo. Akhirnya aku panggil
budak-budak tu baca kat depan, dan demo cara mereka berwudhu, dan baru
kata betul atau tak. Pastu buatlah lawak, nak kata sikit lawak, aku
rasa kat setiap tempat tu aku ada wat lawak-lawak. Dan antara yang aku
paling fokus ialah bab niat, betulkan konsep niat mereka, tak payah
lafaz niat dan lain-lain.
Untuk kuliah seperti kuliah
aqidah, aku jemput Ustaz Kamal Arifin. Dia mengajar di sekolah rendah
di Telok Mas, Melaka. Dia tak dapat hadir, jadi dia hantar adik dia,
Ustaz Sobri dan seorang rakannya, Ustaz Musa. Ustaz Musa yang akan
berceramah pada malam itu. Mula-mula nampak slow sahaja, lama-lama maca
dah masuk gear, makin rancak dan bersemangat ceramah itu. Orang-orang
kampung yang ada pun turut sama mendengar kuliah itu. Ustaz Musa dan
Sobri ini memang orang Melaka. Mereka adalah tenaga pengajar di sebuah
pondok di Sungai Udang.
Untuk kuliah cinta Rasul,
disampaikan leh Ustaz Hairil Irza yang bukan sahaja bekas pelajar UIAM,
bahkan bekas pelajar sekolah aku SMK Tampin.
Di dalam kem
itu, para pelajar didedahkan dengan ilmu akidah, ibadah dan akhlak.
Bahkan para pelajar diajar tentang sunnah-sunnah harian seperti adab
makan, tidur dan lain-lain. Mereka juga diberikan beberapa hadith untuk
dihafal.
Setiap malam juga diadakan sesi Qiamulail.
Nak bercerita sangat tentang bab modul, aku bukan fasi, jadi tak dapatlah aku nak cerita sangat di sini.
Pada
hari terakhir, diadakan sesi penutup dan pertemuan bersama ibu bapa dan
penjaga pelajar. Aku dan komiti tidak menyertai majlis penutup kerana
sibuk nak kemas stor dan barang-barang dapur.
Terima kasih kepada rakan-rakan di Tampin dan akak aku yang berkerja
keras (Aiman yang paling tak kenal penat. Dari pagi Jumaat dia dah ada
di rumah aku. Malam sabtu pun tidur di situ, gilir-gilir jaga malam
dengan aku dan Zaid. Pagi Sabtu dia bertolak ke KL sebab ada sepupu
bertunang, Habis je majlis terus bertolak balik ke Tampin, sampai di
Tampin terus datang ke kem. Aku pun tak sekuat itu agaknya). Bagitu
juga rakan-rakan dari INTIS, dan ibu bapa aku yang banyak memberikan
sokongan moral, kewangan dan tenaga.
Wallahua’alam.