Siapa Kata Wanita Tidak Boleh Meluah Kata Dan Meminang Si Lelaki??? – Ini Solution-nya
Soalan:
Saya
telah berkenalan dengan seorang pemuda yang alim dan warak orangnya.
Dia banyak memberi nasihat dan panduan agama kepada saya. Sejak
berkenalan dengannya, saya telah banyak berubah. Saya mengikuti
nasihatnya agar menutup aurat dengan sempurna dan tidak meninggalkan
solat lima waktu. Saya dapat rasakan ada perasaan indah yang timbul
dalam hati sanubari saya terhadapnya. Saya selalu berangan-angan agar
dapat bersamanya sebagai suami isteri suatu hari nanti. Ustaz, apakah
yang saya lakukan ini dalam keredaan Allah? Tidakkah saya berubah
kerana pemuda tersebut, bukan sepenuhnya kerana Allah SWT? Bagaimana
untuk memastikan agar saya sentiasa berada di landasan yang betul?
Terima kasih atas kesudian ustaz menjawab persoalan ini
Jawapan:
Tahniah,
kerana bertemu dengan pemuda yang alim dan warak. Dalam hal yang
melibatkan hubungan lelaki dan wanita, Islam cukup teliti dan sering
dituduh sebagai ‘konservatif’ dari kacamata barat. Hakikatnya, Allah
maha bijaksana dan amat mengetahui baik dan buruk untuk manusia di
dunia dan akhirat.
Justeru,
jika dilihat dari apa yang telah meresapi hati saudari, bolehlah di
katakan saudari sudah ‘jatuh hati’ kepada si pemuda tadi serta memasang
niat baik untuk mempersuamikannya. Sebagai manusia biasa, ia
sememangnya satu niat dan perasan yang sukar di tolak. Bagaimanapun,
saudari perlulah mengawal semua batasan perhubungan dengan pemuda tadi
bagi mendapat keredhaan Allah. Tindakan berikut perlulah saudari
lakukan:-
1) Meluahkan hasrat secara berselindung tetapi boleh di fahami kepada pemuda tadi untuk membina “rumahtangga” bersama. Ia berdasarkan tindakan Khadijah yang menggunakan orang tengah, dan juga seorang wanita lain yang tanpa segan silu menyatakan hasratnya kepada baginda SAW. Imam Al-Bukhari di dalam sohihnya meletakkan satu bab bertajuk “Wanita mendedahkan / menawarkan dirinya kepada lelaki Soleh” (Rujuk Kitab Nikah);, juga terdapat satu riwayat bahawa Anas r.a berkata di sisi anak perempuannya: “telah datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu menawarkan dirinya (untuk menjadi isteri baginda); berkatalah wanita itu: “Adakah dikau punyai hajat kepadaku?”; maka anak perempuan Anas menyampuk: “Alangkah kurangnya malu si wanita itu dan amat malunya perbuatannya”; maka Anas menjawab: “Dia lebih baik darimu, ia berkehendakkan Nabi SAW lalu menawarkan dirinya kepada baginda SAW” (Sohih Al-Bukhari, 7/17). Imam Ibn Hajar menegaskan tiada catatnya wanita menawarkan dirinya untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki ( Fath al-Bari, 9/175 ) Justeru, jangan terlalu terpengaruh kononnya orang wanita tidak boleh melamar si pemuda yang baik lagi warak. Teruskan hasrat dan jangan bertangguh dalam melakukan hal yang baik. Malah Khawlah bt Hakim adalah dari kalangan wanita yang menawarkan dirinya kepada Nabi SAW (Sohih al-Bukhari, 7/15)
2)
Saudari diizinkan untuk menjemput sipemuda ke rumah saudari bagi
memperkenalkannya kepada kedua Ibu bapa saudari. Dengan kewujudan ibu
bapa atau ‘wali’ lain di majlis itu, saudari dibenarkan untuk berada
bersama di ruang tamu (dengan menutup aurat lengkap) dan tidak perlulah
bersembunyi di dalam bilik. Ia berdasarkan hadith-hadith yang
mengizinkan lelaki dan wanita yang berniat untuk kahwin, bagi mengenali
dengan lebih dekat bakal pasangan masing-masing.
Antaranya
dalilnya: “telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki lalu
menceritakan bahawa ia ingin memperisterikan seorang wanita Ansar, maka
Nabi bersabda: “Adakah kamu telah melihatnya?: “Belum jawabnya”; Nabi
menjawab: “Pergilah kamu melihatnya kerana di mata wanita Ansar ada
sesuatu (tanda)” (Riwayat Muslim) Juga pesan Nabi kepada Mughirah bin
Syu’bah selepas mengetahui ia ingin meminang seorang wanita: “ Pergilah
melihatnya, sesungguhnya ia lebih menjamin berkekalannya – bagi menilai
kesesuaian- (perkahwinan) kamu berdua” ( Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi,
Ibn Hibban; Hasan menurut At-Tirmidzi no 1087, cet Maktabah al-Ma’arif;
Sohih menurut Albani ) Perlu diingat bahawa melihat bukan hanya dengan
mata, tetapi ia juga membawa maksud suatu meninjau sikap, budi bahasa,
cara hidup dan apa-apa info yang dapat menambahkan ketepatan pemilihan
pasangan (kecuali yang HARAM dibuat dan dilihat). (Fiqh as-sunnah,
Sayyid Sabiq, 2/23 dengan tambahan, Nizom al-Usrah, Dr Muhd ‘Uqlah,
1/206)
3)
Jangan bertangguh atau berhubung tanpa ikatan sah terlampau lama,
(Nizom al-Usrah, 1/216) kerana ia amat mudah membawa keapda yang haram.
Perihal berangan-angan saudari tadi juga bukanlah sesuatu yang baik
untuk diteruskan. Nabi SAW menyatakan: “Tidak dilihat (penyelesaian)
bagi dua orang yang cinta-mencintai kecuali NIKAH” (Riwayat Ibn Majah,
al-Hakim, sohih menurut al-Hakim, As-Suyuti , Al-Jami’ As-Soghir, no
7361, 4/397 cet Jahabersa). Al-Allamah Al-Munawi menegaskan ubat yang
terbaik bagi pasangan yang sedang asyik bercinta dan kasih adalah Nikah
(Faidhul Qadir, 5/294)
4)
Jangan menghebahkan kepada awam sekali mana belum di ijab kabulkan,
kerana ikatan ‘janji untuk berkahwin’ boleh membawa fitnah dengan
mudah. (Nizom al-Usrah Fil Islam, 1/214)
5)
Jangan bertemu berdua-duaan di luar, sama ada di tempat terbuka atau
tertutup, kecuali diringi mahram lelaki yang telah dewasa dan mampu
menilai baik buruk menurut Islam. Saya nyatakan begini kerana ramai
juga mahram lelaki yang ‘merapu’ dan tidak langsung punyai ilmu tentang
batas hubungan lelaki wanita menurut Islam. Kehadiran orang seperti
ini, tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Islam.
6)
Mengurangkan komunikasi yang tidak berkenaan, serta mengawal isi
kandungan perbincangan dari yang membawa syahwat. Mengetahui hati budi
bakal pasangan menggunakan alatan media elektronik seperti email, surat
dan sms lebih baik dari bercakap dalam banyak keadaan (kerana mendengar
suara mudah menaikkan syahwat), bagaimanapun, saya tidak menafikan
email, surat dan sms juga boleh menaikkan syahwat, tetapi saya kira
secara ‘verbal’ lebih mudah.
7)
Kerana perbicaraan adalah panjang dan dalil amat banyak, ringkasan
perkara perlu (semuanya menurut dalil al-Quran & Al-hadith) dijaga
seperti berikut:-
a. Haram bersentuh, menyentuh satu sama lain.
b. Haram ber”dating” tanpa disertai mahram yang thiqah.
c. Haram berbicara dan bersembang dengan syahwat. (sms, phone, chat, mesengger)
d. Awas fitnah masyarakat sekeliling.
e. Awas fitnah dalam diri anda dan pasangan.
f. Haram melihat kepada aurat masing-masing.
g. Awas daripada bertukar gambar.
h. Awas daripada hebahan umum sebelum di ijab kabul.
Wallahu’alam.
@Nuur Fakhrul as-Shiddiq
YM: nawie83@...
MSN: dimensi83@...
http://groups.yahoo.com/group/PMH-UiTM
http://www.geocities.com/nawie83

goooooooooooooood
Posted by: wawa | June 21, 2007 07:13 PM
smoga anti dirahmati allah..
Posted by: Nur Faezah | March 16, 2008 04:07 AM