Pembatal Keislaman
Penulis: Sheikhul Islam al-Imam
al-Mujaddid Muhammad Bin Abdul Wahab.
Huraian: Abu Usamah.
Pembatal
Pertama: Syirik di Dalam Beribadah Kepada Allah. Allah SWT berkata:
“Sesungguhnya
Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala yang selain
daripada itu (syirik) untuk sesiapa yang dikehendakinya.” (An-Nisa’:48).
Kata Allah SWT lagi:
“Sesungguhnya
orang yang mensyirikkan Allah, maka Allah pasti mengharamkan syurga kepadanya
dan tempatnya ialah neraka. Tidaklah ada untuk orang-orang yang zalim
seorangpun daripada penolong.” (al-Maidah: 72).
Di antara perbuatan-perbuatan
syirik itu ialah berdoa kepada orang-orang yang sudah mati dan meminta
perlindungan daripada mereka, bernazar dan menyembelih untuk mereka sebagaimana
menyembelih untuk jin atau kubur.
Syirik boleh dibahagikan kepada
tiga jenis iaitu 1) Syirik Akbar, 2) Syirik Ashghar dan 3) Syirik Khafi.
Mari kita lihat apakah
bentuk-bentuk syirik itu.
1) Syirik Akbar.
Dosa syirik
akbar tidak akan diampuni oleh Allah kecuali melalui jalan taubat. Pelaku
syirik akbar jika mati dalam keadaan syirik dan belum bertaubat, maka dia akan
kekal di dalam neraka selama-lamanya. Ini sebagaimana firman Allah di dalam
surah an-Nisa, ayat 48 yang sudah disebutkan di atas.
Allah SWT juga
berkata:
“Barangsiapa yang mensyirikkan sesuatu dengan Allah, maka dia adalah
seperti jatuh daripada langit lalu
disambar oleh burung atau diterbangkan oleh angin ke tempat yang jauh.” (al-Hajj:31).
Oleh kerana
itu, ketika di dalam neraka, kaum musyrikin dari kalangan penyembah kubur dan
lain-lain akan mengatakan kepada sesembahan-sembahan mereka di dunia:
“Demi Allah! Sungguh kita dahulu dalam kesesatan yang nyata
kerana kita menyamakan kamu dengan Tuhan semesta alam.” (as-Syu’ara’:97-98).
Perlu kita
ketahui, mereka ini tidak menyamakan berhala-berhala mereka dan apa-apa sahaja
yang mereka sembah dengan Allah dalam hal mencipta, memberi rezeki,
menghidupkan atau mematikan. Cuma, kaum musyrikin itu menyamakan
sembahan-sembahan mereka dengan Allah di dalam masalah mahabbah (kecintaan)
yang merupakan inti ibadah. Demikian juga di dalam masalah ta’zhim
(pengagungan) yang merupakan salah satu qurbah (penghampiran) yang paling besar
dan ibadah yang paling agung. Oleh kerana itulah Allah mencela orang-orang yang
tidak mengagungkanNya. Allah SWT berkata:
“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah
(dan kekuasaanNya).” (Nuh:13).
Syirik Akbar
itu teramat banyak akan tetapi kesemuanya akan menyangkut kepada 4 jenis syirik
ini, iaitu:
a) Syirik Doa.
Allah SWT
berkata:
“Dalam pada
itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka
memohon pertolongan kepada Allah Dengan doa Yang tulus ikhlas kepadaNya.
kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku
syirik kepadaNya.” (al-Ankabut:65).
Shaikh
Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya “al-Qawaid al-Arba’ah”: “Kaedah yang keempat: Bahawasanya kaum musyrikin di zaman
sekarang ini lebih parah daripada kemusyrikan mereka daripada kaum musyrikin
zaman dahulu. Ini kerana kaum musyrikin zaman dahulu melakukan syirik dalam
keadaan senang dan mereka akan ikhlas (memurnkan tauhid) di dalam keadaan
tersepit. Sedangkan kaum musyrikin zaman kita sekarang ini tetap sahaja
melakukan syirik dalam keadaan senang mahupun susah.”
b) Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan.
Berkata Allah
SWT:
“Sesiapa Yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan
kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran
tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia,
dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. (15). Merekalah orang-orang
Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan
pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa Yang
mereka telah kerjakan (16).” (Hud: 15-16).
Ibnul Qayyim
Rahimahullah berkata: “Tentang syirik dalam hal kehendak dan niat, maka itu
merupakan lautan yang tidak bertepi dan jarang sekali orang yang dapat selamat
daripadanya. Barangsiapa di dalam melakukan amal perbuatan mengkehendaki atau
berkeinginan untuk ditujukan kepada selain Allah, dan meniatkan perbuatan itu
selain daripada mendekatkan diri kepada Allah serta lain daripada menuntut
ganjaran daripada amal perbuatan itu, maka ini bererti dia telah berbuat syirik
di dalam hal niat dan keinginannya.
Syirik niat ini
dikategorikan sebagai syirik akbar apabila amalan seseorang itu seluruhnya
diniatkan selain untuk Allah. Ini berbeza dengan riak yang merupakan syirik
ashghar yang Insya-Allah akan diperjelaskan nanti.
c) Syirik Ketaatan
Iaitu mentaati
para alim agama di dalam melakukan maksiat kepada Allah. Allah SWT berkata:
“Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan Ahli-ahli agama mereka
sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (Mereka
mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan
melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan dia. Maha suci Allah dari apa Yang mereka sekutukan.”
(at-Taubah:31).
Di antara
riwayat yang menafsirkan hal ini ialah yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan
perawi lainnya daripada Adi bin Hatim bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW
membaca ayat di atas. Maka Adi bin Hatim berkata
kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka.” Baginda kemudian
menjawab: “ Bukankah mereka itu mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah,
lalu kalian pula mengikut pula mengharamkannya, dan mereka juga menghalalkan
apa yang diharamkan oleh Allah dan kalian lalu ikut pula menghalalkannya.” Adi
bin Hatim menjawab: “Ya.” Maka kata Nabi SAW: “Demikian itulah penyembahan
mereka.” Sanad hadith ini dhaif akan tetapi ia mempunyai syahid
(penguat) berupa hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir secara mauquf melalui
jalur Habib bib Abi Tsabit, daripada Abu al-Bukhturi, daripada Hudzaifah.
Mengenai kesahihannya memang masih diperbincangkan akan tetapi penafsiran ayat
ini sebagaimana tersebut cukup terkenal dikalangan ahli tafsir dan tiada siapa
yang menolaknya.
Sheikhul Islam
Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menyatakan: “Orang-orang yang menjadikan
orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan itu -dengan cara mentaati
mereka di dalam menghalalkan apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa
yang dihalalkan oleh Allah- terbahagi menjadi dua golongan iaitu:-
- Jika mereka menyakini tindakan alim agama yang
mengharamkan hal yang halal dan menghalalkan yang haram dalam mereka sedar
itu bertentangan dengan syariat Allah. Maka mereka menjadi musyrik
sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat di atas.
- Jika keyakinan mereka terhadap hukum asal
sebagaiman di dalam syariat Allah tidak berubah, cuma mereka mentaati
pemimpin agama mereka di dalam derhaka kepada Allah seperti seorang Islam
yang melakukan maksiat akan tetapi dia menyakini bahawa apa yang dia
lakukan ialah maksiat. Mereka ini dihukumi sebagai orang yang melakukan
dosa. (Di ringkaskan daripada Majmu’ al-Fatawa)
d) Syirik
Cinta
Allah SWT
berkata:
“ (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang
mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka
mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah;
sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. dan
kalaulah orang-orang Yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika
mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, Bahawa Sesungguhnya kekuatan dan
kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan Bahawa Sesungguhnya Allah Maha
berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).”
(al-Baqarah: 165).
Orang-orang musyrik akan marah
jika sesembahan mereka seperti berhala, pokok dan lain-lain di sakiti. Bahkan
kemarahan mereka itu melebihi kemarahan kerana Allah. Dan mereka juga akan
bergembira untuk sesembahan mereka. Ini sebagaimana yang Allah SWT sebutkan:
“Dan
(di antara keburukan orang-orang Yang melakukan syirik): apabila disebut nama
Allah semata-mata (di Dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati
mereka Yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama
Yang mereka sembah dan puja Yang lain dari Allah, mereka Dengan serta merta
riang dan gembira.” (az-Zumar: 45).
Al-Allamah Ibnul Qayyim
Rahimahullah menyebutkan: Ada
empat
bentuk cinta yang wajib dibezakan antara satu sama lain. Ini kerana orang yang
tidak dapat membezakannya pasti tersesat.”
Empat jenis cinta itu ialah:
I. Mencintai Allah.
Cinta kepada
Allah sahaja tidak mencukupi untuk selamat daripada azab Allah dan memperolehi
keuntungan daripada pahalaNya. Ini kerana kaum musyrikin, nasrani, yahudi dan
selain mereka pun menyintai Allah.
II. Mencintai apa yang dicintai Allah.
Cinta inilah
yang memasukkan seseorang ke dalam Islam serta mengeluarkannya daripada
kekufuran. Manusia yang paling dicintai Allah ialah manusia yang paling hebat
dalam menyintai hal-hal yang dicintai Allah.
III. Cinta untuk Allah dan cinta demi
Allah.
Ini merupakan
kesan daripada mencintai Allah dan mencintai hal-hal yang dicintai Allah.
Mencintai hal yang dicintai Allah tidak akan tertegak kecuali wajib dengan
cinta untuk Allah dan cinta kerana Allah.
IV. Mencintai sesuati setara dengan
cinta kepada Allah.
Inilah cinta
yang syirik. Sesiapa yang mencintai sesuatu setara dengan cintanya kepada
Allah, maka dia telah mensyirikkan Allah.
. Allah SWT
berkata:
“Dan
sesiapa Yang menyembah Tuhan Yang lain bersama-sama Allah, Dengan tidak
berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka Sesungguhnya hitungannya (dan
balasan amalnya Yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya
orang-orang Yang kafir tidak akan berjaya.” (al-Mukminun:117).
Di antara
bentuk syirik akbar yang lain ialah menyembelih untuk selain Allah. Ini kerana
penyembelihan kepada Allah merupakan satu proses mendekatkan diri kepada Allah.
Allah SWT
berkata:
Katakanlah:
“Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk
Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”(al-An’am:162).
Sesiapa sahaja
yang menyembelih untuk para wali, atau untuk berhala, atau jin, maka ini
bererti dia telah keluar daripada Islam dan beralih kepada kepada wilayah
kekufuran. Ini bukanlah sesuatu yang hairan dan memelikkan kerana ia banyak
berlaku di dalam masyarakat kita. Jika berlaku sesuatu yang pelik di tempat
mereka. Maka akan disembelihlah kambing, ayam atau lain-lain kononnya untuk
menjaga dan mengusir “penduduk” di kawasan itu. Malangnya upacara syirik ini
dihiasi dengan warna-warni agama seperti upacara tahlil, bacaan yassin dan
lain-lain. Dan malangnya lagi, ia diketuai kadangkala oleh orang-orang yang
cerdik pandai agama.
Syirik akbar
yang lain ialah bernazar kepada selain Allah. Ini juga fenomena yang
menyesatkan yang saban kali dilihat. Kubur-kubur akan dihadiahkan dengan
makanan-makanan, kadangkala seikat pisang dan kadangkala dengan
hidangan-hidangan yang enak-enak. Ini dilakukan apabila hajat seseorang
tercapai. Sungguh hina perbuatan ini, makanan yang enak yang patut dihidangkan
kepada anak keluarga, diberikan kepada penghuni kubur yang tak mampu nak makan
langsung. Yang diperlukan oleh penghuni kubur itu doa-doa daripada kita, bukannya
makanan-makanan yang hanya bermanfaat untuk manusia yang hidup.
Kesimpulan:
Syirik Akbar
ada 4 bentuk iaitu:
1) Syirik Doa
2) Syirik Niat, Kehendak dan Tujuan
3) Syirik Taat
4) Syirik Cinta
Syirik-syirik akbar yang disebut
di atas akan mengeluarkan seseorang daripada Islam. Ini kerana kesemua itu
merupakan bentuk ibadah sedangkan memalingkan ibadah kepada selain Allah adalah
syirik.
Wallahu’alam.
Rujukan:
Nawaqidul Islam, Sheikh Muhammad
bin Abdul Wahab
At-Tibyan Syarhu Nawaqidil Islam,
Sheikh Sulaiman bin Nashir bin Abdullah al-Ulwan.
Recent Comments